Selamat Datang-Selamat Datang-Selamat Datang-Selamat Datang-Selamat Datang-Selamat Datang

kelebihan bulan Syaaban

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Aisyah r.a menyatakan bahawa:


"Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa baginda akan berpuasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami menyangka baginda akan berbuka (tidak berpuasa) seterusnya. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."

Usamah bin Zaid pula menceritakan; "Saya telah bertanya kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban", lalu Baginda menjawab, "Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik Sekalian Alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.'' (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Nas'aei).

Justeru, daripada hadis-hadis di atas, kita mendapati bahawa nabi saw amat mengambil berat untuk memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban. Di samping itu, sesiapa yang masih berhutang puasa pada Ramadhan yang sebelumnya seperti wanita yang meninggalkan puasa kerana 'datang bulan', maka inilah waktu yang sesuai untuk mempastikan agar segala 'hutang' dilunaskan sebelum tibanya bulan Ramadhan. Sebagai mencontohi sunnah nabi, kita juga sewajarnya memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban yang mulia ini.

Di samping berpuasa, kita juga boleh memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain untuk mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dan sebagai suatu persediaan untuk memperbanyakkan lagi amalan pada bulan Ramadhan. Antara amalan yang boleh dilakukan selain daripada berpuasa ialah membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar, berzikir, memperbanyakkan solat sunat, bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim, melakukan amalan kebajikan, memohon keampunan untuk ibu-bapa, memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat dan sebagainya.

Persoalan seterusnya yang selalu timbul dalam masyarakat kita ialah amalan pada malam nisfu syaaban. Menurut al-Qadhi Abu Bakar Ibnul Arabi , tidak ada satu hadis sahih mengenai keutamaan malam nisfu syaaban, dan semua hadis mengenainya bertaraf dhaif yang tidak boleh diamalkan. Walau bagaimanapun terdapat hadis mengenai fadilat malam nisfu syaaban yang dianggap Hasan oleh sebahagian ulamak . Hadis tersebut ialah: “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah.

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan pada malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan tertentu pada malam tersebut (sekiranya dianggap sebagai satu kemestian dan wajib seperti ‘mesti’ membaca Yasin sebanyak tiga kali, dan menunaikan solat-solat tertentu sempena nisfu syaaban) adalah bukan ajaran Nabi s.a.w. Inilah juga pendapat majoriti ulamak seperti Sayyid Sabiq, Prof Mutawalli Sya'rawi, Dr Abdul Karim Zaidan dan sebagainya. Oleh yang demikian, kita tidak boleh melakukan amalan-amalan yang tidak diasaskan oleh nabi dan yang bercanggah dengan hukum syarak seperti menunaikan solat sunat khusus untuk panjang umur pada malam nisfu syaaban.
Akan tetapi, ini bukanlah bermakna bahawa kita tidak boleh melakukan amalan tertentu pada malam nisfu syaaban seperti bacaan Yasin, sebaliknya amalan tersebut boleh diteruskan, namun dengan syarat kita tidak ‘mewajibkan’ bacaan Yasin sebanyak 3 kali dan seumpamanya. Di samping itu, alangkah baiknya juga kalau pada malam itu juga diisi dengan program pengajian ilmu agar pemahaman terhadap ajaran Islam semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Justeru, amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, berpuasa dan yang seumpamanya hendaklah dilaksanakan bukan sahaja pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita hendaklah beristiqamah melaksanakan amalan-amalan kebajikan tersebut pada bila-bila masa sahaja siang ataupun malam. Sesungguhnya apabila kita dapat melaksanakan sesuatu amalan dengan penuh keikhlasan dan amalan tersebut bertepatan dengan hukum syara', maka kita akan tergolong daripada umat Islam yang menuju ke arah kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Perbanyakkanlah amalan sunat di bulan Syaaban sebagai suatu persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak!

krdt:http://www.ustazshauqi.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan